Required by w3c

Portal Rasmi

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

plan malaysia

Sejarah Ringkas Penubuhan Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenenanjung Malaysia 

Perkhidmatan Terawal Perancangan Bandar di Tanah Melayu

  • Tahun 1801 - Penubuhan Jawatankuasa Penilai (Committee of Assessors) di Pulau Pinang bagi menjalankan perkhidmatan awal perancangan Bandar. Telah menyusun atur bandar kepada keadaan yang paling sesuai untuk keadaan penduduk.
  • Merupakan rekod-rekod terawal untuk memperkenalkan aktiviti perancangan bandar di negara ini.
     

Keperluan Perkhidmatan Perancangan Bandar

  • Tahun 1912 - W.F. Nutt memohon Majlis Persekutuan (Federal Council) Negeri-negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) mengambil tindakan terhadap pembangunan dan perluasan perbandaran yang tidak terancang.
  • Tahun 1913 - Satu perundangan perancangan bandar disediakan supaya bandar tersebut dapat disusun aturkan mengikut kawasan perkedaian dan lain-lain aktiviti (Federal Council), 1913) di Kuala Lumpur. E.L. Brockman (Chief Secretary) telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Perancang Bandar yang berkuatkuasa bagi kawasan Kuala Lumpur dengan bertujuan untuk menjalankan perkhidmatan perancangan bandar.
     

Detik Permulaan

  • 3 September 1920 - Kerajaan British di Tanah Melayu memohon supaya Government Town Planner, Charles Reade dari Kerajaan Australia Selatan datang ke Tanah Melayu 18 Januari 1921 - Pejabat pertama terletak di bangunan Secretariat, Kuala Lumpur Dari 1921 hingga 1927 Reade telah dibantu oleh pegawai-pegawai Juru Ukur dan Jurutera Awam yang dipinjam dari Jabatan Ukur dan Jabatan Kerja Raya. Pegawai Tadbir dari Pejabat Tanah juga telah dilibatkan dalam mentadbir aktiviti perancangan semula dan agihan lot sebagai Town Planning Administrator. Tahun 1923 - Penggubalan Enakmen Perancangan Bandar yang memperkenalkan General Town Plans dan menjalankan aktiviti penyusunan semula lot-lot (replanning and redistribution) di Kuala Lumpur dan di beberapa pekan di F.M.S. Susunatur bandar baru pertama telah disediakan di Kuala Kubu Baru pada tahun 1924 bagi menempatkan semula pekan lama di Ampang Pechah yang sering dilanda banjir.Enakmen Perancang Bandar 1927 telah digubal mengganti Enakmen 1923 di mana Jawatankuasa Perancang Bandar telah dimansuhkan dan aktiviti perancangan telah diperkukuhkan Pada penghujung tahun 1929, jabatan telah mempunyai lima pegawai perancang bertauliah dari Britain dan ditempatkan di F.M.S. Dengan persaraan Reade pada 1929, R.P Davis menjadi ketua jabatan. Semua pegawai perancang bandar telah ditamatkan perkhidmatan.
  • Tahun 1933 - Khidmat Perancangan berpusat di Kuala Lumpur di mana tugas-tugas perancangan hanya meliputi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
     

Perang Dunia Kedua

  • Tahun 1941 jabatan terpaksa ditutup akibat Perang Dunia Kedua dan dibuka semula di bawah pentadbiran Jepun.
  • Dibuka semula pada 3 Mei 1944 sebagai sebahagian daripada Jabatan Kerja Raya sehingga T.H.H. Hancock seorang Arkitek dan Jururancang, tiba pada September 1946.
     

Selepas Perang Dunia Kedua

  • Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, aktiviti jabatan diperluaskan merangkumi kawasan-kawasan Lembaga Bandaran dan Majlis Bandaran di dalam Malayan Union dan jawatan pegawai perancang dikenali sebagai Pegawai Perancang Bandar Malayan Union.Selepas T.H.H. Hancock, T.A.L Concannon telah mengambil alih dan di antara tahun 1955 hingga 1956 beliau telah menubuhkan tiga pejabat wilayah iaitu di Johor Bahru, Ipoh dan di Pulau Pinang. Pejabat di Kuala Lumpur kekal sebagai ibu pejabat di samping menjalankan tugas-tugas perancangan bagi Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
  • Pelan susun atur perumahan FELDA dan bandar baru Petaling Jaya diletak di bawah penyeliaan T.A.L. Concannon sehingga seorang jurutera kanan diperolehi pada penghujung tahun 1954 iaitu Francis McWilliams (yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar London dari 1992-1993).

 
Selepas Merdeka

Sistem perkhidmatan perancangan telah dijalankan berdasar kepada dua peringkat iaitu Persekutuan dan Negeri di bawah "senarai bersama" (concurrent list) Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan ini, organisasi jabatan telah disusun semula dengan mengadakan pejabat-pejabat di peringkat negeri di seluruh Semenanjung Malaysia. Ini telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1958. Dato' Rosli Buyong menjadi Ketua Pengarah pada tahun 1970. Unit Landskap ditubuhkan pada tahun 1981 (kemudian menjadi Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996).Tahun 1990an 

Dato' (Prof.) Zainuddin Muhammad menjadi Ketua Pengarah pada tahun 1993. Rancangan tempatan rancak disediakan oleh pejabat-pejabat cawangan rancangan pembangunan. Pelan Susunatur Putrajaya dan Cyberjaya telah dirancang pada awal tahun 90an. Pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa telah dibuat menyentuh aspek-aspek pemeliharaan alam sekitar, fizikal, topografi, landskap dan pemeliharaan pokok (Akta A933) dan Akta Perancangan Bandar (Akta 538) juga digubal untuk mengawal mutu profesionalisme para pengamal perancang bandar. Pada tahun 1990an tumpuan juga diberikan kepada perancangan mampan melalui penyediaan Doktrin Perancangan Sejagat dan juga pelbagai Garis Panduan Perancangan bagi rujukan dan panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perancangan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) telah dijalankan melalui pewujudan garis panduan Kawasan Sensitif Alam Sekitar. Negeri Selangor telah mempelopori dengan mengambil inisiatif dengan melaksanakan Agenda 21, Strategi Pembangunan Mampan Selangor. Teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah diterapkan dalam penyediaan rancangan pemajuan. Penyelidikan indikator bandar mampan melalui program Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet) telah dijalankan pada penghujung 90an dan diperkembangkan pada tahun-tahun berikutnya. 

Tahun 2000 dan seterusnya... 

Dato' Wan Mohamad Mukhtar Mohd. Nor dilantik menjadi Ketua Pengarah pada tahun 2001. Pada tahun 2001, Akta Perancang Bandar telah dipinda bagi mengimbangi kuasa kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa. Antara perkara baru ialah kewujudan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Jawatankuasa Perancang Wilayah, Rancangan Fizikal Negara, kewajipan untuk berunding, nasihat MPFN tentang 
a. pembangunan bandar baru lebih dari 10 000 penduduk atau lebih dari 100 hektar 
b. pembangunan di puncak atau lereng bukit dalam kawasan sensitif alam sekitar, dan 
c. pembinaan apa-apa infrastruktur atau kemudahan utama. Rekabentuk dan penilaian opsyen-opsyen pembangunan telah dilaksanakan menggunakan teknik-teknik sains pemutusan (decision science) dan GIS. Contoh teknik ialah multi-criteria decision making (MCDM).

Ringkasan kronologi penubuhan jabatan dan perundangan perancangan

Tahun Penubuhan jabatan dan perundangan perancangan

1921 - Jabatan Perancang Bandar di Kuala Lumpur ( 18 Januari 1921 ) 
1923 - Enakmen Perancang Bandar 
1925 - Cawangan Jabatan Perancangan Bandar di Ipoh (16 Februari 1925 ) 
1927 - Enakmen Perancang Bandar (ganti 1923) 
1937 - Enakmen Lembaga Bandaran (CAP 137) 
1947 - Perang Dunia Kedua, semua pejabat ditutup 
1956 - Pejabat-pejabat wilayah di Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang 

Tahun Penubuhan JPBD Negeri selepas merdeka

1958 - Negeri Perak 
1958 - Negeri Johor 
1958 - Negeri Selangor 
1959 - Negeri P.Pinang 
1960 - Negeri Pahang 
1963 - Negeri Kelantan 
1965 - Negeri Kedah 
1969 - Negeri Terengganu 
1974 - Unit Perancangan Bandar-Bandar Baru di Kuantan 
1976 - Akta Perancangan Bandar dan Desa 
1977 - Negeri Melaka 
1978 - Negeri Perlis 
1981 - Unit Landskap ditubuhkan di Ibu Pejabat 
1987 - Pejabat-Pejabat Caw. Rancangan Pemb. di Alor Setar, Kuala Lumpur, Melaka dan Kuantan 
1990 - Bhg. Penyelarasan dan Pengawasan Taman-Taman Awam ditubuhkan di Ibu Pejabat 
1995 - Akta Perancang Bandar (Akta 538) 
1996 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933) 
1996 - Jabatan Landskap Negara 
2001 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129) 

 

Pesuruhjaya/ Ketua Pengarah

1.    Charles C. Reade                                                   1921

2.    R.P. Davies                                                           1929

3.    T.A.L Concannon                                                    1950

4.    Walter Fairbanks                                                     1960

5.    Frank Watkinson                                                     1965

6.    Dato’ Rosli b.Buyong                                               1969

7.    Chung Weng Foo                                                     1985

8.    Datuk Dr. Mohamed Ishak b. Hj. Mohd Arif                1986

9.    Dato’ Prof. Zainuddin b. Muhammad                          1993

10.  Dato’ Wan Muhammad Mukhtar b. Mohd Noor            2001

11.  Dato’ Hj. Mutalib b. Jelani                                         2003

12.  Dato’ Mohd. Fadzil b. Hj. Mohd. Khir                         2004

13. YBhg. Datin Paduka Dr. Dahlia binti Rosly              2014

14. YBhg. Dato' Dr. Dolbani bin Mijan                             2016

           


Tarikh Maklumat Ini Dikemaskini : 27-04-2016
Jumlah pengunjung kandungan: 1,269