Required by w3c

 

Pengenalan

 

Keperluan penyediaan DPN telah ditekankan di dalam RMK-8 dan RMK-9 di mana DPN perlu digubal untuk meningkatkan keberkesanan kualiti perkhidmatan bandar ke arah mewujudkan bandar yang selamat, bersistematik, moden dan menarik. Peruntukan di bawah Bahagian IIB, Seksyen 6B (3), Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) yang dipinda pada tahun 2001 (Akta A1129), juga menyatakan keperluan bagi Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa menimbangkan dasar perbandaran negara atau dasar lain yang serupa dalam menyediakan draf Rancangan Fizikal Negara (RFN).

 

Falsafah

 

Pembentukan dasar-dasar perbandaran perlu berasaskan kepada falsafah bandar yang sejahtera merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Menjana pembangunan ekonomi bagi kemakmuran negara yang boleh dikongsi dan dinikmati bersama.
  • Menyediakan perkhidmatan bandar, kemudahan awam, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti untuk keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
  • Menekankan aspek keselamatan di dalam bandar.
  • Memastikan keindahan rekabentuk dan kualiti fabrik bandar berasaskan kebudayaan tempatan negara.
  • Memberi fokus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
  • Menggalakkan pembangunan sosial dan perpaduan nasional.
  • Menggalakkan penduduk untuk melibatkan diri dalam membangunkan komuniti masing-masing dengan peningkatan tadbir urus yang lebih efisien dan berkesan.
  • Membasmi kemiskinan bandar.
  • Sensitif dan inovatif kepada perkembangan dan kemajuan teknologi.

 

Matlamat

 

Pembangunan perbandaran perlu mempunyai matlamat ke arah mewujudkan persekitaran yang dapat merealisasikan komuniti dan kehidupan yang sejahtera; yang mana memerlukan keseimbangan dalam semua aspek pembangunan iaitu fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.Untuk mencapai hasrat ini, penggubalan Dasar Perbandaran Negara adalah berpandukan kepada matlamat berikut :


"Mewujudkan Bandar Berwawasan dengan Komuniti dan Kehidupan yang Sejahtera Menerusi Pembangunan Perbandaran yang Mampan"

 

Objektif

 

Berdasarkan kepada matlamat di atas, enam objektif telah dikenalpasti iaitu:

  • Membangunkan bandar yang terancang, berkualiti, progresif dan mampan;
  • Membangun dan memperkukuhkan ekonomi bandar yang berdaya saing;
  • Mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan pembangunan sosial;
  • Membasmi kemiskinan bandar;
  • Memperkukuhkan sistem perancangan, pelaksanaan dan pemantauan;
  • Memantapkan institusi pentadbiran dan pengurusan bandar.

 

Pelaksanaan

 

Dasar Perbandaran Negara perlu mempunyai pelan tindakan bagi melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal. Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia adalah bertanggungjawab menyediakan dan memastikan pelaksanaan Dasar Perbandaran Negara. Tanggungjawab pelaksanaan dasar ini perlu dilaksanakan bersama oleh pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang bertanggungjawab dalam perancangan, pembangunan dan pengurusan perkhidmatan perbandaran.

 

Terdapat keperluan untuk mengadakan hubungan kerjasama bagi melaksanakan langkah-langkah yang menjadi tanggungjawab bersama antara pelbagai kementerian, jabatan dan agensi terbabit. Agensi yang dikenalpasti bertanggungjawab dalam melaksanakan dasar-dasar dan langkah-langkah dalam DPN perlu menterjemahkan dasar-dasar tersebut ke dalam program dan projek masing-masing. Cadangan program dan projek ini akan memberi implikasi kewangan yang perlu diserap oleh pelbagai agensi pelaksana dan dijadikan sebagai asas untuk mendapatkan bajet tahunan dan Rancangan Malaysia Lima Tahun. Pemantauan pelaksanaan dasar dan peruntukan yang mencukupi perlu diadakan untuk memastikan DPN dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

 

    Muat turun dokumen Laporan Dasar Perbandaran Negara (DPN) [.pdf] 

 


Tarikh Maklumat Ini Dikemaskini : 08-01-2013
Jumlah pengunjung kandungan: 3,963